Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu
DEFINISI PROSEDUR REQUEST

Tierney (2000) menjelaskan Prosedur Request ialah persoalan yang dibina bagi meningkatkan kefahaman membaca dan membantu pembaca berfikir secara kritis. Prosedur ReQuest dirangka untuk membantu pelajar membaca secara kritikal melalui penyoalan. Prosedur Request boleh dikira sebagai teknik pembaca yang dinamik iaitu guru dan pelajar saling berinteraksi dalam proses pembacaan. Guru dan pelajar berinteraksi melalui soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru kepada pelajar dan soalan-soalan yang dikemukakan oleh pelajar kepada guru ketika proses pembacaan sedang berlangsung. Teknik Prosedur ReQuest ini mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran dua hala yang secara tidak langsung meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bahan yang dibaca. Selain itu, teknik ini meningkatkan keupayaan membaca yang kritikal dalam kalangan pelajar apabila mereka perlu membina soalan-soalan berdasarkan teks yang dibaca. Guru juga dapat memantau kefahaman pelajar melalui jenis-jenis soalan yang mereka kemukakan. Selain itu, guru boleh mengetahui kefahaman pelajar melalui mutu jawapan yang mereka berikan bagi menjawab soalan-soalan yang guru kemukakan. 


MENGAPA PERLU DITERAPKAN DALAM KELAS?


Prosedur Request merupakan salah satu teknik yang sesuai diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Salah satu sebab yang membolehkan teknik ini diterapkan dalam proses P&P ialah menggalakkan pelajar merumuskan soalan-soalan. Keadaan ini berlaku kerana teknik ini membenarkan pelajar membaca bahan yang disediakan oleh guru. Kemudian, mereka diberikan masa untuk bertanya tentang perkara yang tidak difahami oleh para pelajar. Melalui soalan yang dikemukakan oleh guru ini dapat melihat potensi pelajar dalam membina soalan untuk ditanya kepada guru mengenai artikel yang diperolehi.

            Selain itu, teknik ini perlu diterapkan dalam proses P&P kerana pelajar akan mendapat faedah daripada hasil bacaan. Rebecca (2006) menyatakan persoalan dapat membantu pembaca menghubungkan pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada tentang suatu topik. Sebagai contoh, pelajar mengemukakan soalan bagi memahami tentang pencemaran bunyi.  Apabila semua soalan yang dikemukakan terjawab, maka mereka mendapat pengetahuan baru tentang pencemaran bunyi. Di samping itu, teknik ini diterapkan dalam proses P&P kerana dapat mewujudkan suasana pembelajaran 2 hala antara guru dan pelajar. Interaksi dua hala ini secara tidak langsung telah meningkatkan kefahaman para pelajar. Menerusi teknik ini, pelajar diarahkan membaca bahan bacaan secara senyap. Setelah selesai membaca bahan bacaan, pelajar akan mengemukakan soalan kepada guru tentang isi kandungan yang tidak difahami. Setelah itu, guru akan memberi penerangan mengenai bahan bacaan mereka. Kemudian, guru pula akan bertanya soalan kepada pelajar.